Thursday, July 16, 2009
KELEBIHAN HERBA
HERBA DENGAN RAHSIA NILAI UBATANNYA - Kelebihan Herba
Herba menurut kamus dewan bahasa dan pustaka merupakan tumbuhan dimana daun dan bahagian lain tumbuhan tersebut yang boleh dibuat ulam dan memberikan nilai ubatan kepada orang yang mengamalkan memakannya. Kita sebagai manusia seharusnya memanfaatkan dengan sebaiknya nilai perubatan yang terdapat pada herba.
Kebanyakan ilmu perubatan tradisional masih lagi menggunakan tumbuhan herba sebagai bahan utama dalam perubatan mereka. Walau bagaimanapun ilmu perubatan yang diamalkan ini tidak direkodkan seperti ilmu perubatan allopati tetapi ia diwarisi dari generasi ke generasi berikutnya melalui kaedah lisan.
Tumbuhan-tumbuhan herba merupakan sumber penghasilan analgesik, antibiotik, enzim-enzim, hormon-hormon diuretik, kompaun-kompaun anti parasit, laksatif, anti-koagulan dan pelbagai bahan lagi. Kesemua bahan ini dapat dikesan selepas beberapa kajian dijalankan ke atas tumbuhun herba untuk melihat bahan yang terkandung di dalamnya. Menurut Perubatan Kesihatan Sedunia ( WHO ), hampir 70% dari populasi sedunia menggunakan ubat dari tumbuhan herba terutamanya di negara-negara sedang membangun dan mundur kerana ianya murah dan mudah didapati. Pengguna di negara-negara maju menggunakan tumbuhan herba sebagai alternatif kepada rawatan moden.
Jenis tumbuhan herba yang dibincangkan di sini ialah bawang putih, pegaga, kunyit, dan senduduk putih. Tumbuhan herba yang pelbagai ini mengandungi nilai perubatan yang berbeza di antara satu sama lain.
a) BAWANG PUTIH ( Allium sativum ) - Kelebihan Herba
Bawang putih merupakan antara tumbuhan yang digunakan di dalam masyarakat Malaysia di dalam memasak makanan terutamanya untuk menumis. Walaupun baunya kurang enak tetapi mutakhir ini ciri-ciri perubatan menakjubkan yang terdapat pada bawang putih semakin terserlah. Pakar herba telah lama menganggap bawang putih sebagai " herba atau makanan ajaib" kerana unsur perubatan dan antibiotik yang ada padanya dapat membersihkan sistem tubuh dan mencegah pelbagai penyakit. Rekod Sanskrit menunjukkan bawang putih telah digunakan sebagai bahan perubatan tradisional hampir 5,000 tahun dahulu, manakala masyarakat Cina menggunakannya sejak 2,000 tahun dahulu.
Khasiat bawang putih yang selalu diperkatakan oleh pengamal perubatan tradisional digunakan di dalam ramuan tonik wanita selapas bersalin, untuk mengeluarkan angin di dalam badan, mengatasi masalah usus dan penghadaman serta masalah parasit. Masyarakat Cina pula percaya bahawa bawang putih dapat menyembuhkan luka dengan cepat dan melegakan sakit reumatik. Bawang putih yang dimakan mentah pula berupaya untuk merawat asma, artritis, selesema, jangkitan sinus dan sakit tekak.
Antibarah
Para penyelidik telah menemui sebatian unik di dalam bawang putih iaitu Allican yang mengandungi khasiat perubatan semulajadi seperti ciri antibakteria, antivirus, antibarah dan mencegah penyakit jantung. Bahan ini juga mampu merencat pertumbuhan tumor dengan merencat pembahagian dan pembesaran sel-sel. Allican juga berupaya untuk membaiki dan menguatkan sistem pertahanan tubuh seseorang. Sebatian allil disulfida yang terdapat di dalam bawang putih turut membantu mencegah pertumbuhan tumor malignan ( ganas ).
Penyelidikan yang dilakukan di China pada tahun 1991 telah membuktikan bahawa seseorang yang kerap atau mengamalkan memakan bawang putih dapat mengurangkan kadar serangan barah perut. Hal yang sama juga berlaku di Peking, kadar kematian disebabkan penyakit barah di dapati rendah bagi penduduk yang kerap memakan bawang putih secara berterusan. Mereka mengambil sehingga 200g bawang putih setiap hari. Hal sebaliknya berlaku kepada orang yang tidak memakan bawang putih, mereka lebih mudah diserang penyakit barah. Namun begitu masih belum terdapat bukti kukuh menyatakan bahawa dengan mengamalkan pengambilan bawang putih dapat mengelakkan diri manusia dari penyakit barah secara keseluruhannya.
Selain berupaya mengurangkan kadar penyakit barah, bahan Allican dapat mengurangkan tahap kolestrol sehingga 19% disamping berupaya menghalang pengumpalan platlet darah, meningkatkan aliran darah dan merendahkan tekanan darah. Penemuan ini diperolehi melalui penyelidikan penyakit jantung di Yayasan Jantung British dan Jabatan Kesihatan Umum di Oxford.
Secara tradisional, penggunaan bawang putih untuk mengurangkan penyakit jantung telah lama diamalkan oleh penduduk Mediterranean dan juga negara-negara Asia di mana bawang putih mudah diperolehi. Di China dan Jepun, bawang putih telah digunakan untuk merawat darah tinggi ( hypertension ). Herba ini juga telah dibuktikan dapat mengurangkan lemak dan gula di dalam darah. Ia mengandungi komponen antikoagulan iaitu sejenis bahan yang bertindak sebagai pembersih darah, mengawal penyakit jantung dan strok. Bagi pesakit jantung, kesan bawang putih lebih efektif daripada aspirin kerana kandungan Allican dapat merencat pengumpulan platlet yang boleh menyumbat saluran darah tanpa mengganggu fungsi enzim.
Antimikrob
Menurut sejarah, Louis Pasteur ( 1858 ) telah berjaya membunuh bakteria di dalam makmal dengan mencampurkan ekstrak bawang putih ke dalam media kalturnya. Kajian selanjutnya pula mendapati bahawa ekstrak bawang putih yang apabila dicampurkan bersama-sama medium kaltur akan merencat pertumbuhan bakteria, yis, kulat dan juga virus. Satu komponen kimia yang terdapat di dalam bawang putih ialah Ajoene yang berupaya merencat pertumbuhan lebih daripada 20 varieti kulat seperti Fusarium lini, Candida albicans dan Athlete's foot. Minyak yang diperolehi daripada bawang putih berkesan dalam merencat pertumbuhan bakteria berbahaya seperti Clostridium botulinum yang boleh mengakibatkan keracunan makanan. Ciri antimikrob ini boleh diperolehi daripada ekstrak bawang putih, daun serta minyaknya. Walaubagaimanapun bahan-bahan kimia yang bertindak sebagai antimikrob ini akan termusnah keseluruhannya jika dipanaskan pada suhu 100°C selama 20 minit.
b) PEGAGA ( Centella asiatica ) - Kelebihan Herba
Khasiat pegaga telah lama diiktiraf di seluruh Asia. Masyarakat Cina menamakannya Ching Chow Sui manakala orang India memanggilnya Valeerai dan Gotu kola. Nama-nama ini telah tercatat dalam manuskrip Ayurvedic di India lebih 4,000 tahun dahulu dan Shennong Herbal di China sejak 2,000 tahun lalu.
Masyarakat India percaya bahawa pegaga dapat menyembuhkan penyakit kulit seperti kusta, kudis, ulser dan luka-luka. Pada tahun 1949 satu kajian telah dijalankan ke atas pegaga dan mendapati bahawa ia mujarab mengubati penyakit kusta dan ulser kerana ciri-ciri antibakteria yang ada padanya. Manakala penyelidikan yang dijalankan pada 1950 pula mendapati pegaga amat baik untuk menyembuhkan luka, kudis serta mengubati kerengsaan kulit.
Masyarakat Cina pula bergantung kepada pegaga untuk mengubati gangguan emosi seperti tekanan perasaan yang disebabkan oleh masalah fizikal. Ia adalah herba serbaguna untuk mengubah sistem saraf serta meredakan tekanan perasaan.
Pegaga telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia ( WHO ) sebagai herba yang menjana kecerdasan berfikir terutama di kalangan kanak-kanak. WHO memperakui bahawa pegaga kaya dengan pelbagai ramuan ubatan. Herba ini amat mujarab dan akan memperbaiki fungsi minda seperti meningkatkan daya ingatan dan penumpuan fikiran. Dr. Robert D. Willix Jr. dalam bukunya Health and Longevity Newsletter menggelar sebagai “herba ajaib” kerana ia dapat membantu peredaran darah serta meningkatkan kesihatan kulit.
Selain daripada khasiat-khasiat yang disebutkan pegaga juga telah lama digunakan sebagai tonik untuk membersihkan darah dan menghasilkan kulit yang sihat. Amalan meminum jus pegaga amat mujarab untuk membantu mereka yang bermasalah untuk tidur, merawat kerengsaan kulit serta tekanan darah tinggi. Daun pegaga yang diramas dengan sedikit air pula amat baik jika disapukan pada kudis dan luka. Pegaga juga memberi kesan kepada beberapa peringkat pembentukan tisu seperti menghilangkan parut, membina kolegan, merangsang pembentukan rambut dan kuku.
c) KUNYIT ( Curcuma domestica ) - [Kelebihan Herba]
Dalam perubatan tradisional, kunyit banyak digunakan dalam campuran rempah ratus dan jamu. Mengikut kepercayaan orang Melayu, ibu kunyit boleh membersihkan rahim dan mengecutkannya bagi wanita selepas bersalin. Walaubagaimanapun kunyit biasanya tidak digunakan bersendirian tetapi dicampurkan dengan lada hitam atau lempoyong. Kunyit juga dikatakan boleh mengubati sakit perut, reumatisme, demam, batuk, penyakit lelah, cirit-birit dan gatal pada mata. Bagi mengurangkan rasa gatal pada mata, air rebusan kunyit dititiskan ke dalam mata. Manakala bagi penyakit kurap susu pula dapat diatasi dengan menyapu kunyit yang dicampur dengan kapur pada kulit. Penyakit ini kerap dialami oleh bayi yang baru lahir.
Dalam masyarakat Melayu Sarawak, bunga kunyit digunakan oleh wanita selepas bersalin sebagai ulam. Bunga kunyit dikatakan sama khasiatnya dengan ibu kunyit iaitu menyembuhkan luka bersalin, memulihkan rahim dan awet muda. Bagi masyarakat Melayu di Pantai Timur Semenanjung pula tidak terhad kepada wanita bersalin sahaja, amalan memakan bunga kunyit sebagai amalan dapat menambah seri muka.
Dalam perubatan tradisional India, kunyit digunakan sebagai herba pencuci. Sesetengah masyarakat India menggunakan kunyit sebagai sapuan ( pes ) pada bahagian badan untuk mengubati penyakit kulit dan gatal-gatal. Ahli perubatan Cina pula percaya kunyit boleh melancarkan perjalan darah, melegakan sakit, menghilangkan kesan lebam dan darah beku serta berkesan dalam mengubati sakit perut. Kunyit juga boleh digunakan untuk mengubati bisa patukan ular tedung dan ia dipercayai dalam perubatan Thailand.
Ada penyelidikan yang membuktikan kunyit menguatkan pundi hempedu, menyekat pembekuan darah yang bahaya, menngurangkan toksin hati, membantu proses ungkaibina lemak, mempunyai kesan antimerangsang tindakan dan non-steroidal.
Salah satu ciri yang menentukan mutu kunyit ialah kandungan curcumin dan minyak patinya. Curcumin ialah salah satu pigmen kunyit yang mengandungi ciri perubatan. Minyak pati kunyit didapati boleh menyembuhkan bengkak dan sakit artritis serta boleh menentang kuman.
d) SENDUDUK ( Melastoma malabathrium ) - Kelebihan Herba
Tumbuhan herba berbunga putih ini bernilai tinggi dalam perubatan trdisional untuk merawat cirit-birit, berak berdarah, menghentikan pengaliran darah haid yang tidak kering-kering, mengubati penyakit keputihan, rawatan buasir, meredakan sakit gigi dan membuang angin di dalam tubuh badan. Kajian saintifik yang telah dijalankan menunjukkan bahawa terdapat sifat anti-agregasi pada herba ini yang membolehkan pendarahan berhenti.
Daun senduduk yang tua ditumbuk dengan kunyit hidup dan kemudian dicampur dengan air dan diminum. Untuk mengubati penyakit keputihan, rebus dua ranting daun senduduk putih dengan sedikit gula, halia dan daun bonglai. Bila campuran air rebusan itu mendidih dan dibiarkan sejuk, kemudian diamalkan meminumnya setiap pagi dan malam. Bagi meredakan sakit gigi, akar senduduk putih direbus dan airnya digunakan untuk berkumur. Air rebusan itu juga sesuai dibuat mandi untuk tujuan melembutkan kaki dan membung angin di dalam tubuh badan.
KESIMPULAN - Kelebihan Herba
Di dalam perbincangan ringkas ini dapat dilihat betapa banyak kebaikan perubatan yang boleh diperolehi daripada tumbuhan herba yang mudah dan murah didapati ini. Masih banyak lagi tumbuhan herba yang masih belum dikaji potensinya sebagai radas kesihatan manusia. Malah mungkin ada spesis yang belum pernah ditemui lagi. Sekecil-kecil herba sekali pun mungkin mengandungi kompaun berguna yang dapat menyelamatkan nyawa.
RUJUKAN
Mariatini Othman,1996, Tumbuh-tumbuhan Ubat-ubatan, Dewan Kosmik April 1996, Hal. 50 & 51.
Pegaga Menjana Kecerdasan Otak, Mastika Disember 1998, Hal. 89 & 90.
Kunyit -Pewarna, perisa dan penawar, Agromedia- Bil 5 1999, Hal. 60 & 61.
Azizah Ismail, Senduduk Ubati Berak Berdarah, Mastika Ogos 1998, Hal. 63.
Hadijah Hassan, Keajaiban Bawang Putih, Agromedia- Bil. 1, Dis 1998, Hal 50 & 51.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment